Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Segala puji dan syukur hanya kepada Allah s.w.t yang memberi hidayah (petunjuk) kepada siapa-siapa yang Dia kehendaki dan menyesatkan siapa-siapa yang Dia kehendaki. Dan tidak lari keduanya itu daripada mizan (timbangan) keadilan Allah 'azza wajalla kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menzalimi hambaNya. Selawat dan salam selamanya ke atas kecintaan kami Nabi al-Mustofa Rasulillah s.a.w. Sedikit perkongsian keistimewaan yang terdapat di bumi Mesir dalam manhaj yang dibawa. Jom baca!
Definisi Manhaj
Manhaj menurut bahasa ertinya jalan yang jelas dan terang. Allah s.w.t berfirman:
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.”
Manakala dari segi istilahnya manhaj membawa maksud kaedah-kaedah dan ketentuan-ketentuan yang digunakan bagi menghasilkan sesuatu perkara. Boleh juga diertikan sebagai method dalam mendirikan atau menjadikan sesuatu perkara. Sebagai contoh cara penyusunan hadis-hadis nabi dalam kitab ulama muhaddithin terdahulu. Mereka mempunyai manhaj (kaedah) tersendiri dalam menyusun hadis-hadis mereka. Sepertimana Sunan Tirmizi, penyusunannya mengikut bab-bab fiqh yang bermula dari bab bersuci, solat, dan seterusnya.
Berbalik kepada tajuk. Manhaj Azhari yang saya mahu kongsikan di sini adalah cara-cara ulama para masyaeikh al-Azhar dalam menyampaikan ilmu. Saya tertarik dengan cara penyampaian mereka. Sebahagian besar para masyaeikh di sini membentangkan sesuatu itu dengan huraian yang lebih meluas berdasarkan hujah serta pendapat imam-imam mazhab terutamanya empat mazhab yang muktabar, as-Syafie, al-Ahnaf, al-Malikiah, dan al-Hanabilah. Saya kira gaya penyampaian sebegini agak kurang di Malaysia. Kita lebih tertumpu pada mazhab Syafie sahaja. Walau bagaimanapun ia bukanlah menjadi suatu masalah bagi kita.
Dalam pada itu, timbul satu persoalan yang bermain dalam fikiran. Sepanjang pengajian Sunan Tirmizi bersama Syeikhuna Dr. Yusri hafizahullah, dalam huraiannya beliau selalu membentangkan keempat-empat pendapat imam mazhab yang muktabar. Walaupun berpaksikan satu dalil hadis, tetapi berlainan penafsiran mereka. Jadi persoalannya, adakah boleh saya sebagai penuntut ilmu yang berpegang dengan mazhab Syafie beramal dengan pendapat mazhab lain?
Jawapan ringkas daripada Ustaz Azfar bin Abdullah bin Jusoh:-
1. Manhaj yang baik. Mengeluarkan penuntut ilmu dari fiqh yang ekstrem.
2. Fiqh dibincang dan dibahas dalam pelbagai mazhab telah lama digunakan oleh ulama terdahulu. Boleh rujuk kitab Mughni Ibnu Qudamah (Imam Ahmad ibnu Hanbal) atau kitab Imam Haramain (Imam Syafie) atau lain-lain contoh. Jadi itu adalah manhaj yang telah lama dipegang ulama.
3. Belajar fiqh 'alal mazahib (fiqh yang berlainan mazhab) ini mengajar kita untuk menilai istidlal (pendalilan) kepada hukum-hukum yang ditakhrijkan (dikeluarkan) oleh ulama. Dalam masa yang sama mendedahkan kita supaya mentarjihkan mana-mana pandangan yang dirasa lebih kuat.
4. Sebab itu selagimana pandangan kita berkisar kepada ulama-ulama yang muktabar atau dalil-dalil yang disepakati atau dinilai dengan baik atau hujah-hujah yang diiktiraf syarak maka boleh sahaja untuk berpegang dengan mana-mana pndangan.
Dengan amanah ilmu, penting untuk kita memegang kepada hukum berdasarkan dalil yang terkuat pada penilaian kita atau ulama kita. Wallahu a'lam. Jazahullahu khair.
Kata Syeikhuna Dr. Yusri hafizahullah:
"Nabi s.a.w itu rahmatan lil 'alamin (rahmat bagi seluruh alam). Baginda diutuskan dengan sebuah deen iaitu agama, dan bukannya diutuskan dengan bermazhab-mazhab. Sesungguhnya agama itu luas."

No comments:
Post a Comment