Thursday, 19 February 2015

Bab 4: Doa Masuk Tandas

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: "Adalah Nabi s.a.w apabila masuk ke dalam tandas, Baginda s.a.w akan berdoa: (اللهم إني أعوذ بك) Ya Allah, ya Tuhanku sesungguhannya aku berlindung denganMu. Syu'bah berkata: Adakalanya baginda mengucapkan: (أعوذ بك من الخبث والخبيث) Aku berlindung denganMu daripada syaitan-syaitan jantan dan syaitan-syaitan betina - atau dengan lafaz (الخبث والخبائث)." [Kata Abu Isa at-Tirmizi: "Hadis ini adalah yang paling sahih dan paling baik dalam bab ini."]


     Setelah membincangkan sedikit sebanyak tentang kepentingan dan kelebihan bersuci, maka di sini bermulalah perbincangan yang berkaitan dengan cara-cara bersuci pula, bermula dari masuk tandas, bicara tentang najis, dan seterusnya.

     Tandas. Ya, sekarang kita cerita bab tandas. Walaupun menjijikkan, tapi tandaslah tempat kita qada hajat (tunai hajat) yang adatnya lazim kita berhajat atau perlu kepadanya dalam kehidupan seharian. Tandas di dalam bahasa arab yang digunakan di dalam hadis tersebut ialah (الخلأ) al-khalaa'. Dari segi bahasanya ia membawa maksud suatu tempat yang sunyi. Maka dapat kita faham di sini bahawasanya tandas ialah suatu tempat yang digunakan sebagai tempat untuk buang air besar (berak) atau air kecil (kencing) - sama ada di dalam binaan yang tertutup atau di kawasan lapang seperti di padang pasir - yang sunyi daripada manusia daripada terlihat aurat kita dan sunyi jua daripada menyebut nama Allah yang mulia.

     Doa masuk tandas. Sejak awal zaman persekolahan lagi kita sudah diajar dengan doa ini. Bahkan sudah kita hafal dan sudah menjadi amalan harian kita. Pun begitu, tidak salah bagi kita sama-sama tambah lagi pengetahuan dalam bab ini. Biar amalan kita betul-betul mirip dengan kelakuan Baginda s.a.w.

     Dalam hadis di atas disebutkan doa itu dibaca oleh Nabi s.a.w ketika  m a s u k  tandas. Adakah sesudah berada di dalam tandas? Sedangkan tidak layak nama Allah disebut di dalam tandas. Maka di dalam al-Adabul Mufrad  karangan Imam Bukhari didatangkan hadis daripada Sayyidina Anas juga dengan katanya: "Adalah Nabi s.a.w apabila h e n d a k masuk ke dalam tandas..." Bermakna doa masuk tandas ini dibaca ketika hendak masuk atau sebelum masuk ke dalam tandas iaitu sebelum melangkah kaki masuk ke dalam tandas. Adapun jika berada di kawasan lapang yang tiada binaan langsung seperti di padang pasir, maka bacalah doa ini ketika hendak menyingkap kain atau bahasa mudahnya, masa hendak buka seluar. Ini pendapat jumhur (majoriti) ulama'.

     Berkaitan dengan maksud al-khubs dan al-khabits atau al-khabaits pula banyak ulama' berselisih pendapat. Ada yang berpendapat maknanya kejahatan, kekejian, kemaksitan, kekufuran, dan nama bagi jenis syaitan yang berada di dalam tandas. Jangan pening-pening. Inilah kelazatan belajar hadis. Terserlah keluasan agama. Sengaja saya letakkan hadis daripada Imam Tirmizi sebagai hadis induk dalam perbincangan. Walaupun disebut dengan berbagai lafaz doanya. Bukan bertujuan untuk memeningkan anda tetapi lihatlah keluasan agama. Walau bagaimanapun saya lebih suka pendapat ulama' yang mengatakan al-khubs ialah syaitan jantan manakala dengan lafaz al-khabaits ialah syaitan betina. Bagi menguatkan pendapat ini, kata Imam Nawawi rahimahullah: Lafaz al-khubs itu adalah lafaz jamak bagi khabits (menunjukkan atas jantan) manakala al-khabaits itu adalah lafaz jamak bagi khabitsah (menunjukkan atas betina). Bahkan di dalam Sahih Bukhari dan kebanyakan riwayat juga menyebut dengan lafaz al-khubs wa al-khabaits:
اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث
Ya Allah, ya Tuhanku aku berlindung denganMu daripada syaitan-syaitan jantan dan syaitan-syaitan betina.

     Kepentingan berdoa. Hatta Nabi s.a.w yang maksum (terpelihara daripada dosa) juga berdoa meminta perlindungan kepada Allah s.w.t. Apatah lagi kita. Ini menunjukkan bahawa Nabi s.a.w hendak mengajar umatnya yang tidak terlepas daripada dosa dan gangguan syaitan supaya berdoa meminta perlindungan dengan Allah s.w.t sebelum masuk ke dalam tandas. Oleh kerana tandas merupakan tempat kotor dan najis yang sememangnya menjadi tempat atau rumah syaitan. Malah dengan doa tersebut mudah-mudahan Allah s.w.t memelihara aurat kita daripada pandangan segala jin. Sebaliknya jika seseorang itu melangkah masuk ke dalam tandas tanpa berdoa seolah-olah dia masuk ke dalam tandas sebagai tetamu bagi syaitan. Maka atas kehendak syaitanlah apa yang hendak ia lakukan. Kesan daripada gangguan syaitan itu ada, cuma kita tidak sedar - bilamana duduk dalam majlis ilmu berasa mengantuk, dengar tazkirah masuk telinga kanan keluar telinga kiri, berasa malas, dan sebagainya. Cuba tanya diri, aku masuk tandas baca doa tak? Selamat beramal!

*Wallahu'alam. Sumber rujukan: Sunan Tirmizi, Bahrul Mazi, dan Tuhfatul Ahwazi.


No comments:

Post a Comment