Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah.
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah katanya: "Nabi s.a.w melarang menghadap (ke arah) kiblat ketika kencing. Namun aku terlihat Baginda s.a.w setahun sebelum kewatannya Baginda menghadap (ke arah) kiblat."
Diriwaatkan daripada Ibnu Umar katanya: "Suatu hari aku telah naik ke rumah Hafsah, lalu aku terlihat Nabi s.a.w sedang qada hajatnya dalam keadaan menghadap (ke arah) Syam dengan membelakangi Ka'bah. [Kata Abu Isa at-Tirmizi: "Hadis ini adalah hadis hasan lagi sahih."]
Maka dengan berdalilkan kedua-dua hadis di atas inilah Imam Malik dan Imam Syafie menyatakan hukum harus - iaitu dibolehkan - pada qada hajat dalam keadaan menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya di dalam binaan yang tertutup. Oleh yang demikian kerana hadis riwayat Jabir itu Rasulullah s.a.w menghadap ke arah kiblat. Manakala hadis riwayat Ibnu Umar itu Rasulullah s.a.w membelakangi kiblat pula - iaitu hadapannya ialah Syam, Baitul Maqdis kerana kedudukan Madinah adalah di antara Mekah dan Baitul Maqdis.
Kata Imam Nawawi: "Apabila seseorang mengelak daripada menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya ketika buang air besar mahupun air kecil, kemudian dia menghadap pula untuk membasuhnya maka hukumnya adalah harus."
==========================================================================================
Diriwayatkan daripada Abi Qatadah bahawasanya dia pernah melihat Nabi s.a.w kencing menghadap ke arah kiblat. [Hadis ini dhaif kerana salah seorang perawinya yang bernama Ibnu Lahi'ah itu lemah dari segi hafalannya.]
Dimuatkan juga sebuah hadis dhaif ini oleh Imam Tirmizi di dalam kitabnya Sunan Tirmizi. Kata Syeikhuna Dr. Yusri hafizahullah: "Hadis ini dhaif hanya pada isnad kerana salah seorang daripada rangkaian perawi-perawi hadis itu lemah dari segi hafalannya. Manakala pada matannya ia kuat kerana diperkuatkan oleh hadis hasan dan hadis sahih daripada Jabir dan Ibnu Umar. Bahkan ia tidak terkeluar atau tidak menyalahi maqasid syar'ie. Malah Imam Tirmizi juga tahu hadis ini bertaraf dhaif. Tetapi dimuatkan juga di dalam kitabnya. Kenapa tak mahu terima hadis dhaif?"
==========================================================================================
Tersebut di dalam kitab Bahrul Mazi tentang sebab ditegah qada hajat dalam keadaan menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya. Padanya terdapat beberapa pandangan ulama':-
- Tegahan pada qada hajat dalam keadan menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya adalah kerana menghormati akan orang yang sembahyang. Tidak wajar sama sekali menyamakan kelakuan solat yang menghadap ke arah kiblat dengan qada hajat.
- Manusia sewaktu zaman jahiliyyah juga tahu akan kemuliaan ka'bah. Di sisinya terdapat hajarul aswad. Batu yang berasal dari syurga. Sedangkan Allah s.w.t juga memuliakan ka'bah apatah lagi kita. Oleh itu, setiap amalan yang baik wajar menghadap ke arahnya. Tambahan lagi, terdapat sebuah yang menjanjikan pengampunan daripada Allah s.w.t dengan sebab memuliakan ka'bah - arah kiblat seluruh umat Islam. Diriwayatkan daripada al-Bazzar katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa duduk kerana hendak buang air kecil dalam keadaan dia menghadap ke arah kiblat. Kemudian dia teringat, lalu dia berpaling daripadanya kerana memuliakannya. Nescaya dia tidak akan bangun daripada duduknya melainkan diampunkan dosa baginya."
*Wallahu'alam. Sumber rujukan: Sunan Tirmizi, Bahrul Mazi, dan Tuhfatul Ahwazi.

No comments:
Post a Comment