Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Dengan izin tuhannya, para malaikat datang menyempurnakan tugas mengiringi roh al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menuju Rabbul Izzati pada malam Jumaat yang mulia. Sungguh susah payahmu dibayar dengan kemuliaan di dunia lagi. Saat engkau dilahirkan, tangisanmu kedengaran senyuman manusia sekelilingmu menjadi hiasan. Namun kini, pemergiaanmu ditangisi ribuan manusia dan aku berharap engkau tersenyum di sana. Engkau berupaya untuk bersenang-senang dengan harta dan pangkat. Namun engkau lebih menyenangi susah-payah dalam agama. Sedarlah aku bahawa penat-lelah engkau semata-mata buat Islam. Maka tidak ada kemuliaan melainkan dengan Islam. Sungguh mulia pemergianmu.
Alhamdulillah syukur saya berpeluang bertemu dengan insan mulia ini beberapa kali sebelum ini. Pertemuan yang pertama adalah sewaktu saya masih bersekolah rendah. Beliau menjadi tetamu bermalam di rumah kami. Master bedroom untuknya. Hanya secebis kenangan yang saya masih ingat ketika itu. Ketika mana saya menyediakan air kosong buatnya pada malam itu. Itu sahaja. Maklumlah masih budak-budak. Oh rugi!
Pertemuan kedua pula adalah sewaktu beliau datang ke tempat pengajian kami, Maahad Tahfiz An-Nahdhoh. Sempat juga menjadi makmumnya subuh itu. Surah ad-Dukhan dibacanya dalam nada biasa tetapi terasa nikmat solat berimamkannya. Benarlah jika imam khusyuk, makmum juga akan terasa. Seusai solat subuh itu, beliau memberi tazkirah muhasabah buat kami pelajar tahfiz dalam keadaan beliau masih bertahiyyat akhir, menghadap kiblat dan menundukkan kepala. Seolah-olah beliau melebihkan dirinya untuk bermuhasabah.
Pertemuan ketiga pula adalah sewaktu saya mengikuti rombongan Tuan Guru Ustaz Hj. Abdul Mutalib ke pejabatnya, Institut Pemikiran Tok Guru pada tahun 2014. Malu melihatnya yang sudah uzur dimakan usia tetapi masih bersemangat memperjuangkan Islam. Antara pesanannya ialah jadikan setiap perbuatan kita, percakapan kita menunjukkan itu adalah agama Islam. Kita merupakan duta Islam. Ke mana sahaja kita pergi kita bawa imej Islam.
Pertemuan keempat tidak kesampaian. Saya dan sahabat-sahabat memang berhasrat untuk menziarahi beliau sebelum berangkat ke Mesir. Tetapi hajat tidak kesampaian. Semoga pertemuan keempat yang diimpikan itu terlaksana di kemudian hari. Hari kehidupan selepas kematian.
Semoga kita semua diberikan husnul khatimah (kesudahan yang baik). Berehatlah dikau di sana. Penat lelahmu terbayar dengan kemuliaan di sisi Allah Rabbul Jalil. Kami akan sentiasa merinduimu. Ya Allah, kurniakanlah yang terbaik buatnya. Ampunilah dosanya, kasihanilah dia. Himpunkanlah dia bersama orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat. Al-Fatihah.

No comments:
Post a Comment