Thursday, 26 February 2015

Bab 8: Tegahan Buang Air Kecil Sambil Berdiri

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah.

Diriwayatkan daripada al-Miqdam bin Syuraih, daripada Aisyah Ummul Mukminin katanya: "Barangsiapa yang menceritakan kepada kalian bahawa Nabi s.a.w buang air kecil dalam keadaan berdiri, maka janganlah kalian percaya kerana Baginda s.a.w tidak buang air kecil melainkan dalam keadaan duduk."

[Kata Abu Isa at-Tirmizi: "Hadis ini adalah yang paling sahih dan paling baik."]


Diriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya: "Nabi s.a.w pernah melihatku buang air kecil dalam keadaan berdiri. Lalu Baginda s.a.w bersabda: "Wahai Umar, janganlah kamu buang air kecil dalam keadaan berdiri." Maka setelah itu aku tidak pernah lagi buang air kecil dalam keadaan berdiri." [Kata Abu Isa at-Tirmizi: "Hadis ini dhaif kerana salah seorang perawinya yang bernama Abdul Karim bin Abi al-Mukhariq, dan dia adalah seorang yang lemah menurut ahli hadis."]

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya, kata Umar bin al-Khattab: "Aku tidak pernah buang air kecil dalam keadaan berdiri sejak keislamanku." [Kata Abu Isa at-Tirmizi: "Hadis ini lebih sahih daripada hadis riwayat Abdul Karim."]

     Kencing atau bahasa sopannya buang air kecil bukanlah suatu perkara yang asing dalam kehidupan seharian kita. Setiap manusia melakukan aktiviti ini untuk mengeluarkan sisa-sisa metabolisme tubuh. Maka dengan sifat kesyumulan Islam itu, adab buang air kecil juga diajar oleh Nabi s.a.w supaya mengikut aturannya yang betul. Lantas insan manakah yang lebih mulia untuk kita contohi dalam setiap perbuatan kita melainkan disandarkan kepada sebaik-baik makhluk iaitu baginda Nabi s.a.w.

     Mengikut pendapat ulama', hukum buang air kecil dalam keadaan duduk adalah sunat manakala hukum buang air kecil dalam keadaan berdiri adalah makruh melainkan kerana uzur seperti sakit lutut, terlampau gemuk sehingga susah untuk duduk, dan sebagainya. Adapun makruh itu ialah karahah tanzih iaitu makruh yang ringan dan tidak cenderung kepada haram seperti karahah tahrim.  

إن من الجفاء أن تبول قائما
Diriwaytkan daripada Abdullah bin Mas'ud katanya: "Sesungguhnya sebahagian daripada sifat-sifat kekerasan (tabiat buruk atau tidak beradab) adalah buang air kecil dalam keadaan berdiri."

*Wallahu'alam. Sumber rujukan: Sunan Tirmizi, Bahrul Mazi, dan Tuhfatul Ahwazi.


No comments:

Post a Comment