Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah.
Diriwayatkan daripada Abi Ayyub al-Ansari katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w: "Apabila kalian qada hajat (buang air besar) maka janganlah kalian menghadap (ke arah) kiblat, baik air besar (berak) mahupun air kecil (kencing), dan janganlah membelakanginya. Akan tetapi menghadaplah (ke arah) timur atau barat. Maka kata Abu Ayyub: Ketika kami tiba di Syam, kami mendapati tandas mereka dibangunkan menghadap (ke arah) kiblat. Maka kami mengiring (berpaling) daripadanya dan kami mengucap istighfar akan Allah."
[Kata Abu Isa at-Tirmizi: "Hadis ini adalah yang paling sahih dan paling baik."]
Kata al-Imam as-Syafie rahimahullah: "Janganlah kalian menghadap (ke arah) kiblat, baik air besar mahupun air kecil, dan janganlah membelakanginya." Tegahan yang demikian itu bermaksud di kawasan yang terbuka. Adapun jika di dalam binaan yang tertutup, maka terdapat keringanan (rukhsah) untuk menghadap ke arah kiblat.
Kata al-Imam Ahmad ibnu Hanbal rahimahullah: Sesungguhnya keringanan (rukhsah) ketika buang air besar atau air kecil daripada Nabi s.a.w itu hanyalah pada membelakanginya. Adapun menghadap ke arahnya tetap tidak dibolehkan. Seakan-akan Imam Ahmad tidak membezakan sama ada di kawasan yang terbuka seperti di padang pasir atau di dalam binaan yang tertutup untuk menghadap kiblat.
==========================================================================================
Had Binaan Yang Tertutup
Maksud binaan di sini ialah sesuatu yang menghalang yang bertindak sebagai penghadang. Sebagai contoh mudahnya ialah dinding. Para ulama' telah menggariskan dua syarat baginya. Syarat yang pertama, jarak diri kita dengan dinding itu mestilah tidak jauh daripada tiga hasta. Manakala syarat yang kedua, tinggi dinding itu mestilah tidak kurang daripada dua per tiga hasta, sekira-kira menutup aurat kita untuk qada hajat. Jika tidak cukup kedua-dua syarat tersebut maka hukumnya kembali kepada haram pada qada hajat dalam keadaan menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya.
==========================================================================================
Perbezaan Pendapat
- Pendapat dalam mazhab Imam Abu Hanifah. Hukum buang air besar dan air kecil dalam keadaan menghadap ke arah kiblat di kawasan yang terbuka mahupun di dalam binaan yang tertutup adalah makruh tahrim - iaitu makruh yang lebih cenderung kepada haram.
- Pendapat jumhur (majoriti) ulama' selain Imam Abu Hanifah iaitu Imam Malik, Imam Syafie, dan Imam Ahmad pula berpendapat bahawa haram buang air besar dan air kecil dalam keadaan menghadap ke arah kiblat di kawasan yang terbuka seperti di padang pasir. Adapun di dalam binaan yang tertutup tidak diharamkan - hukumnya harus atau dibolehkan. Pendapat ini lebih cenderung dengan dalil hadis daripada Ibnu Umar dan Jabir bin Abdullah yang akan diterangkan dalam Bab 7 yang akan datang.
- Pendapat sebahagian kecil dalam mazhab Imam Syafie. Hukum buang air besar dan air kecil dalam keadaan menghadap ke arah kiblat di kawasan yang terbuka mahupun di dalam binaan yang tertutup adalah makruh. Tetapi jika terdapat masyaqqah (kepayahan) maka hukumnya harus jua. Pendapat ini berdalilkan beberapa hadis sahih. Tambahan lagi, dalam hadis di atas juga Nabi s.a.w mengarahkan supaya berpaling ke arah timur atau barat. Ini adalah khitab (percakapan) Baginda s.a.w sewaktu berada di Madinah. Maka yang paling baik adalah menyimpang daripadanya supaya terkeluar daripada khilaf.
==========================================================================================
Mengucap Istighfar
Maka kata Abu Ayyub: "Ketika kami tiba di Syam, kami mendapati tandas mereka dibangunkan menghadap (ke arah) kiblat. Maka kami mengiring (berpaling) daripadanya dan kami mengucap istighfar akan Allah." Merujuk pada akhir hadis ini, istighfar yang diucapkan oleh Saiyyidina Abi Ayyub al-Ansari itu terdapat tiga pendapat padanya:-
- Istighfar kerana menghadap kiblat.
- Istighfar kerana dosanya.
- Istighfar kepada orang yang membina tandas tersebut - dalam keadaan menghadap ke arah kiblat.
*Wallahu'alam. Sumber rujukan: Sunan Tirmizi, Bahrul Mazi, dan Tuhfatul Ahwazi.

No comments:
Post a Comment