Tuesday, 17 February 2015

Bab 2: Kelebihan Berwuduk

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Segala puji bagi Allah yang mensyariatkan wuduk. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta keluarganya dan para sahabat sekaliannya.

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w: "Apabila mengambil wuduk seorang hamba yang muslim atau mukmin, maka membasuh ia akan mukanya nescaya keluar daripada mukanya segala dosa-dosa (kecil) yang memandang ia kepadanya dengan dua matanya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir atau seumpamanya, maka apabila membasuh ia akan dua tangannya keluarlah daripada dua tangannya segala dosa-dosa (kecil) yang dilakukan oleh tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir hingga keluar ia hal keadaannya bersih daripada segala dosa."

[Kata Abu Isa at-Tirmizi: "Hadis ini adalah hadis hasan lagi sahih."]

Apakah maksud keluarnya segala dosa-dosa (kecil) bersama air?
     Keluarnya segala dosa-dosa (kecil) bersama air itu membawa maksud diampunkan dosa-dosa kecil oleh Allah s.w.t yang Maha Pengampun melalui air wuduk. Hal yang demikian kerana dosa itu bukanlah sesuatu yang berjisim yang boleh keluar secara zahir dan dapat dilihat mata kasar. Walhal dosa juga tidak dapat dilihat bagaimana ia masuk. Maka di sini dapat kita faham bahawa keluarnya segala dosa-dosa (kecil) bersama air itu adalah diampunkan segala dosa-dosa kecil pada anggota wuduk melalui air wuduk yang mengalir dengan sebab kelebihan yang Allah s.w.t campakkan pada wuduk itu sendiri.

     Daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w sabdanya: "Sesungguhnya seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan (dosa), maka dititikkan di dalam hatinya satu titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut sehingga menutupi hatinya. Itulah yang dimaksudkan dengan “ar-Raan” yang disebutkan di dalam firmanNya (كلا بل ران على قلوبهم ما كانوا يكسبون), "Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi  k e k o t o r a n  (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka lakukan.""

     Daripada Ibnu Abbas katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Hajarul Aswad (batu hitam) adalah seketul batu permata yang putih (asalnya), yang diturunkan dari syurga. Saat itu warnanya lebih putih daripada salji, lalu dosa anak-anak Adam-lah yang membuatnya berubah menjadi hitam."

     Kata Imam as-Suyuthi: "Maka apabila terkesannya dosa ke atas batu nescaya ke atas jasad (tubuh badan manusia) itu kelakuannya lebih utama." Maksudnya, sedangkan batu pun terkesan dengan sebab dosa-dosa manusia, apatah lagi anggota manusia yang melakukan dosa itu sendiri. Wallahu'alam.
==========================================================================================

Adakah diampunkan dosa melalui wuduk itu khusus bagi dosa-dosa kecil sahaja?
     Ya. Adapun dosa besar tidak diampunkan melainkan dengan taubat nasuha. Malah maksud dosa-dosa kecil itu ialah dosa-dosa kecil yang tidak bersangkutan dengan hak makhluk. Jika bersangkutan dengan hak makhluk, maka tiada pelepasan melainkan kemaafan daripada tuan punya hak. Dan jika tidak dimaafkan nescaya pahala ibadatnya akan menjadi hak orang yang dia zalimi sewaktu di dunia dahulu. Adapun jika dosa itu hanya semata-mata diri kita dengan Allah s.w.t, maka ketahuilah bahawasanya Allah s.w.t itu Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Wallahu'alam.
==========================================================================================

     Mafhum sabda Nabi s.a.w pada akhir kalamnya: "...hingga keluar ia hal keadaannya bersih daripada segala dosa." Di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi menyebut, seseorang yang berwuduk dengan sempurna itu sunyi ia atau suci ia daripada segala dosa-dosa kecil. Malah dengan wuduk yang sempurna itu didirikan solat hal keadaan ia tidak membawa sebarang kekotoran dosa menghadap Allah s.w.t. Inilah permulaan bagi (إقامة الصلاة)  m e n d i r i k a n  solat, kata Syeikhuna Dr. Yusri. Berbeza dengan  m e l a k u k a n  solat yang hanyalah berkait dengan kelakuan solat tanpa mengambil kira kesempurnaan sebelum solat dan selepasnya.

Kenapa membasuh muka disebutkan pula keluarnya segala dosa-dosa kecil daripada mata? Sedangkan bila disebut muka sudah tertakluk padanya mata, hidung, mulut, dan telinga. Kenapa dikhususkan akan mata?
  1. Pendapat yang pertama kerana mata itu ialah jalan utama ke hati, bila disebutkannya meliputi keseluruhnya. Dari mata turunnya ke hati, bukankah hati itu raja bagi tubuh manusia? Dari mata jua terlintasnya syak dan prasangka di fikiran dan sebagainya.
  2. Pendapat yang kedua pula kerana hidung, mulut, dan telinga anggota yang telah dikhususkan dalam berwuduk. Adapun mata ianya berbeza kerana tidak ada wuduk pada mata melainkan ia menumpang bersama-sama dengan muka.
*Wallahu'alam. Sumber rujukan: Sunan Tirmizi, Bahrul Mazi, dan Tuhfatul Ahwazi.


No comments:

Post a Comment