Wednesday, 18 February 2015

Bab 3: Kunci Solat

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Segala puji bagi Allah yang pada sisiNya jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada yang mengetahui melainkan Dia sahaja. Selawat dan salam selamanya ke atas Rasulillah s.a.w serta keluarganya dan para sahabatnya. Diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali daripada Nabi s.a.w sabdanya: "Kunci solat itu adalah bersuci (daripada hadas kecil dan hadas besar), dan tahrimnya itu takbir, dan tahlilnya itu salam." [Kata Abu Isa at-Tirmizi: "Hadis ini adalah yang paling sahih dan paling baik."]


     Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w mengibaratkan bersuci (daripada hadas kecil dan hadas besar) itu seperti kunci kepada solat. Oleh kerana hadas kecil atau hadas besar itu kedua-duanya merupakan penghalang kepada solat. Justeru itu, apabila terangkatnya hadas besar dengan mandi wajib dan hadas kecil dengan wuduk, maka terhapusnya penghalang kepada solat. Hal yang demikian kerana apa yang telah dikongsikan pada post Bab 1: Tidak Diterima Solat Tanpa Bersuci.

     Kemudian diibaratkan pula takbir iaitu takbiratul ihram itu sebagai takbir keharaman solat. Maksudnya di sini, bila kita angkat sahaja takbiratul ihram, bermakna kita sudah masuk dalam zon solat. Maka apa-apa perbuatan, atau percakapan yang halal dilakukan sebelum kita solat diharamkan serta-merta selepasnya. Sebagai contoh, sebelum solat halal kita makan, minum, sembang, dan sebagainya. Tapi bila angkat takbiratul ihram sahaja semua itu menjadi haram bagi kita kerana ia akan membuatkan solat kita itu terbatal.

     Manakala diibaratkan salam iaitu salam pertama pada tasyahhud akhir itu menghalalkan semula apa yang haram selepas takbiratul ihram iaitu ketika sedang solat. Bermakna solat itu secara ringkasnya adalah suatu amalan yang dibukai dengan takbiratul ihram dan ditutupi dengan salam.

     Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah katanya, sabda Nabi s.a.w: "Kunci syurga itu adalah solat, dan kunci solat itu adalah wuduk." Lantas secara tidak langsung kata Syeikhuna Dr. Yusri hafizahullah, wuduk itu merupakan miftahul miftah iaitu kunci kepada kunci. Wuduklah kunci kepada solat, dan kunci kepada syurga jua. Kerana solat tidak dapat didirikan melainkan dengan wuduk. Wallahu'alam.


*Wallahu'alam. Sumber rujukan: Sunan Tirmizi, Bahrul Mazi, dan Tuhfatul Ahwazi.


No comments:

Post a Comment