Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w sabdanya: "Tidak diterima solat (fardu atau sunat) dengan ketiadaan bersuci dan tidak diterima sedekah (yang berasal) daripada harta khianat."
Dapat kita ambil daripada hadis di atas bahawa bersuci itu menjadi kefarduan bagi orang yang hendak mendirikan solat. Bertepatan dengan perintah Allah s.w.t dalam firmanNya Surah al-Maidah pada ayat yang keenam, (إذا قمتم إلى الصلاة): "Apabila kamu hendak mendirikan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu..."
Kata Imam Nawawi:-
- Telah berkata salaf: "Kefarduan itu ke atas setiap solat fardu dengan dalil firman Allah tersebut."
- Diriwayatkan daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w sabdanya: "Bahawasanya Allah s.w.t tidak menerima solat seseorang daripada kamu apabila berhadas sehingga ia berwuduk (bersuci dengan air atau tanah).
- Sunat mengambil wuduk pada setiap kali hendak mendirikan solat walaupun dalam keadaan tidak berhadas. Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w: "Barangsiapa mengambil wuduk (dalam keadaan tidak berhadas atau memperbaharui wuduk) menulis Allah s.w.t akannya sepuluh kebajikan."
- Telah bersepakat imam-imam (mazhab) bahawa haram mendirikan solat tanpa bersuci (dengan air atau tanah).
Haram mendirikan solat tanpa bersuci (dengan air atau tanah) membawa maksud kepada semua jenis solat, fardu mahupun sunat. Termasuklah sujud tilawah, sujud syukur dan solat jenazah walaupun tiada ruku' dan sujud di dalam solat jenazah. Kerana Nabi s.a.w pernah bersabda dengan lafaz: "S O L A T lah sekalian kamu ke atas an-Najasyi."
Daripada hadis di atas juga dapat kita ambil bahawasanya tidak diterima sedekah daripada harta khianat. Maksudnya di sini, sedekah yang sepatutnya menjadi sebuah kebajikan itu tertolak dengan sebab harta sedekah itu adalah dari sumber yang tidak elok (syubhah atau haram) seperti mencuri.
*Wallahu'alam. Sumber rujukan: Sunan Tirmizi, Bahrul Mazi, dan Tuhfatul Ahwazi.
*P.S: Post ini dan seterusnya bab demi bab didedikasikan buat kakak tercinta khususnya yang memberi galakan kepada saya untuk berkongsi hadis-hadis yang dipelajari bersama Syeikhuna Dr. Yusri yang bersambung sanadnya sehingga Rasulullah. Moga-moga ia menjadi amal yang bermanfaat buat semua. Mohon diperbetulkan apa yang tersalah.

No comments:
Post a Comment