Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Dalam post yang lalu kita sudah bincang berkenaan dengan doa masuk tandas. Pada post kali ini kita sempurnakan lagi adab qada hajat dengan doa keluar tandas pula.
Diriwayatkan daripada Aisyah katanya: "Adalah Nabi s.a.w apabila keluar dari tandas (daripada buang air kecil atau besar), Baginda s.a.w akan berdoa: (غفرانك) Aku memohon keampunanMu." [Kata Abu Isa at-Tirmizi: "Hadis ini adalah hadis hasan lagi gharib."]
Dalam hadis di atas Saiyyidatina Aisyah iaitu isteri Nabi s.a.w menceritakan bahawa Nabi s.a.w akan berdoa - (غفرانك) ghufranaka - memohon kampunan daripada Allah s.w.t sebaik sahaja keluar dari tandas. Ada dua pendapat ulama' berkenaan dengan doa itu.
Pendapat yang pertama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w memohon keampunan kerana berpisah lidahnya yang mulia daripada berzikir kepada Allah s.w.t ketika dalam tandas. Oleh kerana Nabi s.a.w berzikir kepada Allah s.w.t pada setiap saat, setiap detik, dan setiap masa melainkan ketika qada hajat.
Pendapat yang kedua pula menyatakan bahawasanya Rasulullah s.a.w berasa terkurang rasa syukurnya kepada Allah s.w.t kerana nikmat qada hajat yang mendatangkan banyak kebaikan kepada badan sekaligus menyihatkannya itu amat wajar disyukuri. Maka pendapat kedua ini lebih cenderung dan lebih munasabah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik dengan katanya: "Adalah Nabi s.a.w apabila keluar dari tandas (daripada buang air kecil atau besar), Baginda s.a.w akan berdoa: (الحمد لله الذي أذهب عني الأذى وعافاني) Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan daripada aku penyakit dan menyihatkan aku."
Maka dengan dua riwayat yang berbeza ini, ada baiknya kita himpunkan dua riwayat ini dalam satu doa:-
غفرانك الحمد لله الذي أذهب عني الأذى وعافاني
Aku memohon keampunanMu. Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan daripada aku penyakit dan menyihatkan aku.
Lihatlah betapa mulianya akhlak seorang rasul dengan Tuhan Pencipta dalam menyatakan rasa syukurnya. Sekalipun Baginda s.a.w maksum (terlepas daripada dosa) serta diampunkan baginya segala apa yang terdahu dan yang terkemudian. Namun Baginda s.a.w tetap mensyukuri nikmat tersebut walau sekecil-kecil nikmat. Berbeza dengan kita yang selalu menganggap remeh nikmat-nikmat yang selalu kita kecapi.
*Wallahu'alam. Sumber rujukan: Sunan Tirmizi, Bahrul Mazi, dan Tuhfatul Ahwazi.

No comments:
Post a Comment