Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'alarasulillah.
Firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Mukminun, ayat 115: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya
menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat
pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada
Kami?” Jom muhasabah kenapa perlu latih hati untuk ikhlas lillahi ta'ala.
Allah s.w.t berfirman dalam bentuk pertanyaan supaya
ciptaannya khusus dalam kalangan manusia itu berfikir. Di dalam kitab Tafsir Baidhawi
menyebut ayat ini Allah s.w.t mencela atas kelalaian manusia. Adakah Allah
s.w.t menciptakan kita, saya dan anda sia-sia – tanpa ada sebarang tujuan? Sering
kali hati kecil kita tertanya-tanya apakah tujuan penciptaan kita? Untuk apa
aku dijadikan? Dari mana aku datang dan ke mana akan aku pergi? Justeru amat
penting bagi kita sebagai seorang muslim mengetahui serta memahami tujuan atau
matlamat penciptaan (kehidupan) kita di dunia ini.
Firman Allah s.w.t di dalam Surah az-Zariyat, ayat 56:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
Menurut pendapat Ibnu Taimiyyah berkenaan maksud ibadat:
.العبادة:
اسم جامع لكل ما يحبه الله ويرضاه من الأقوال والأعمال الظاهرة والباطنة
Ibadat: Satu kata nama yang terhimpun di dalamnya setiap apa
yang disukai Allah dan diredhaiNya, daripada percakapan dan perbuatan – zahir
dan batin.
Maka apabila ia merangkumi percakapan dan perbuatan – zahir dan batin – ia bermakna ibadat itu meliputi seluruh aktiviti kehidupan manusia. Namun ia bergantung kepada individu tersebut untuk menjadikan sesuatu itu sebagai ibadat ataupun tidak. Sama ada percakapannya atau perbuatannya – zahir dan batin – itu mampu atau tidak diterima sebagai satu amalan yang disukai dan diredhai Allah s.w.t. Hal yang demikian kerana SUKA dan REDHA Allah itu sebagai syarat utama bagi menjadikan sesuatu itu sebagai ibadat.
Oleh itu, asas kepada sesuatu ibadah itu adalah niat yang
ikhlas lillahi ta’ala. Dengan ikhlas diterimanya amalan – kecil mahupun
amalan besar – seseorang. Tetapi tanpa ikhlas amalan sebesar manapun tidak akan
diterima Allah s.w.t.
Saudara mukminin yang dirahmati Allah,
Firman Allah s.w.t di dalam Surah Hud, ayat 15-16:
“Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan
kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran
tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia,
dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang
tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada
hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang telah
mereka kerjakan.”
Apa itu kehidupan dunia dan perhiasannya?
Firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Hadid, ayat 20:
“Ketahui olehmu, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah
permainan dan senda gurau (yang melalaikan), dan perhiasannya dan
bermegah-megah antara kamu, dan berbangga-bangga tentang harta dan anak-pinak,
seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan petani, kemudian ia menjadi
kering, maka kamu melihatnya kuning, kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat
ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah dan keredaan-Nya. Dan
kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
Di dalam ayat di atas Allah s.w.t ibaratkan manusia yang melakukan sesuatu perkara hanya kerana menuntut kehidupan duniawi itu sepertimana seorang petani yang bersusah-payah – bermandikan peluh – hendakkan hasil daripada tanamannya. Dia berasa yakin dengan usahanya malah gembira melihat hujan yang membasahi tanamannya – lalu tanamnnya itupun menghijau. Kemudian tanamannya itu segar ke suatu masa yang tertentu. Akan tetapi kemudiannya tanaman itu menjadi kekuningan dan akhirnya ia menjadi hancur bersepai tanpa meninggalkan sedikitpun hasil untuk dituai. Perumpamaan ini membawa maksud bahawa kehidupan dunia tidak ada apa-apa melainkan kesenangan yang menipu. Kita ada harta banyak. Kita ada anak kerja bagus-bagus. Kita ada kereta mewah. Tetapi semua itu tidak ada nilai di sisi Allah s.w.t. Sekalipun kita dapat bawa semua itu menghadap Allah s.w.t di Padang Mahsyar kelak, namun ia tetap tidak bernilai di sisi Allah s.w.t. Melainkan disertakan hati yang suci bersih dari segala syirik dan penyakit munafik.
Firman Allah s.w.t di dalam Surah ash-Shua’ara, ayat 88-89:
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat
memberikan pertolongan sesuatu apapun. Melainkan (harta benda dan anak-pinak)
orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari
syirik dan penyakit menafik).”
Kata al-Hafiz al-Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah: “Amalan kelakuan seorang insan itu terbahagi kepada dua. Yang pertama, a’mal al-jawarih iaitu amalan anggota. Yang kedua, a’mal al-qulub iaitu amalan hati – yang membabitkan soal keikhlasan insan. Dan amalan yang paling susah adalah amal yang membabitkan soal hati nurani seseorang insan itu.” Hal yang demikian kerana di sinilah puncak yang paling besar manusia berjuang.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam
tubuh manusia ada segumpal daging, apabila daging itu baik maka baiklah seluruh
anggota tubuh manusia itu, akan tetapi bila daging itu rosak maka rosaklah
seluruh anggota tubuh manusia itu. Ketahuilah bahawa sesungguhnya segumpal
daging itu adalah hati.”
Daripada Abu Hurairah r.a, telah bersabda Rasulullah s.a.w:
“Awal-awal manusia yang akan diadili pada hari kiamat (daripada golongan
mereka) adalah seorang lelaki yang telah mati syahid. Lalu lelaki itu dibawa
menghadap Allah. Lalu Allah s.w.t memperingatkannya tentang nikmat yang telah
dikurniakan kepadanya. Lantaran itu, lelaki itupun mengakui akan segala nikmat
kurniaan Allah s.w.t tersebut.”
Allah beri kamu masa muda. Allah beri kamu kekuatan. Allah
beri kamu keberanian.
Lalu Allah s.w.t bertanya kepadanya (sedangkan Dia Maha Mengetahui): “Maka apakah yang telah kamu lakukan dengan nikmat-nikmat itu?” Lelaki itupun menjawab: “Aku berperang keranaMu sehinggalah aku mati syahid.” Allah s.w.t berfirman: “Kamu bohong! Akan tetapi kamu berperang supaya kamu dikatakan seorang yang berani. Maka sesungguhnya kamu telahpun dikatakan sedemikian.”
Kemudian Allah s.w.t memerintahkan kepada malaikat agar
lelaki itu dicampakkan ke dalam api neraka. Lalu diheret mukanya ke bawah
sehingga dicampaknya ke dalam api neraka.
Kemudian didatangkan pula seorang lelaki yang mempelajari ilmu (agama) dan mengajarkannya. Dia juga membaca al-Quran (dengan mahir). Lelaki itupun dibawa menghadap Allah s.w.t.
Allah s.w.t memperingatkan segala nikmat yang diberikan
kepadanya. Lelaki itu mengakui akan penerimaan semua nikmat tersebut. Allah
s.w.t berfirman kepadanya: “Oleh itu, apakah yang telah kamu lakukan
dengannya?” Lelaki itupun menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu dan
mengajarkannya (kepada orang lain). Dan aku telah membaca al-Quran semata-mata
keranaMu.” Allah s.w.t berfirman kepadanya: “Kamu bohong! Akan tetapi kamu
telah mempelajari ilmu supaya kamu digelar sebagai seorang yang alim dan kamu
telah membaca al-Quran supaya digelar qari. Sesungguhnya kamu telahpun digelar
sedemikian.”
Kemudian Allah s.w.t memerintahkan kepada malaikat agar
lelaki itu dibawa pergi dan diheret mukanya ke bawah sehinggalah dicampaknya ke
dalam api neraka.
Begitu juga seorang lelaki yang telah diperluaskan Allah s.w.t baginya segala jenis harta. Lelaki itu pun dihadapkan di hadapan Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t memperingatkan segala nikmat yang telah dikurniakanNya kepada lelaki tersebut lalu lelaki itu mengakuinya. Allah berfirman kepada lelaki itu: “Maka apakah yang telah kamu lakukan dengan kesemua harta itu?” Lelaki itu menjawab: “Tidaklah aku tinggalkan walaupun satu jalan yang disukai agar dibelanjakan harta untuknya melainkan aku telah membelanjakan hartaku semata-mata keranaMu.” Allah berfirman: “Kamu bohong! Akan tetapi kamu telah melakukan semua itu agar kamu dikatakan seorang yang pemurah/dermawan. Sesungguhnya kamu telahpun dikatakan sedemikian.” Maka lelaki itu juga menerima nasib yang sama. Diperintahkan malaikat agar lelaki itu dibawa pergi lalu beliau disembam mukanya ke bawah dan kemudian dicampakkan ke dalam api neraka.”
Mudah-mudahan kita dilindungi Allah.
Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah apakah amalan kita dapat
menjadi kegembiraan kita atau kesengsaraan kita pada ketika itu. Refresh niat
selalu. Utamakan kualiti ibadat bukan kuantitinya. Kerana ibadat yang sedikit
tetapi ikhlas dan istiqamah itu lebih baik dari ibadat yang banyak – malah
dalam masa yang sama banyak juga kekurangannya.
Sabda Nabi s.a.w:
“Setiap manusia itu celaka melainkan
mereka yang berilmu.
Setiap yang berilmu itu celaka melainkan mereka yang
beramal.
Setiap yang beramal itu celaka melainkan mereka yang ikhlas.
Dan
mereka yang ikhlas itu berada pada kedudukan yang tertinggi.”
No comments:
Post a Comment