Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (bua-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutunNya)? [Al-An'am, 6: 95]
Alhamdulillah pada tahun 2014 ini, aktiviti berkebun menjadi aktiviti ko-kurikulum semula bagi para pelajar Ma'ahad Tahfiz An-Nahdhoh (Banin). Zaman saya belajar dulu berkebun memang sudah menjadi rutin harian waktu riadhah petang kami. Tetapi aktiviti ini selalunya terhenti apabila para pelajar bercuti panjang. Aktiviti berkebun ini merupakan cetusan idea dari YDP Yayasan An-Nahdhoh sendiri iaitu Tuan Guru Haji Abdul Mutalib Maarof. Minat beliau dalam berkebun diterapkan dalam jiwa anak-anak huffaz di sini. Beliau menyatakan aktiviti berkebun ini amat sesuai dengan para huffaz.
Antara faktornya ialah:
1. Para huffaz perlukan ketenangan dalam menghafal al-Quran. Bukankah melihat tumbuhan hijau itu menenangkan?
2. Para huffaz perlukan hati dan jiwa yang bersih. Maka bukankah tumbuhan hasil tangan dari bumi itu merupakan sebaik-baik rezeki untuk masuk ke dalam badan?
3. Para huffaz juga merupakan pejuang agama. Maka seusia muda inilah dilatih untuk bekerja, disingkatkan waktu untuk bermain. Sedangkan rakan-rakan lain masih lagi sibuk bermain.
Oleh yang demikian, aktiviti berkebun ini bermula semula pada tahun 2014 ini setelah terhenti pada zaman saya pada tahun 2009. Pada kali ini aktiviti berkebun ini dikelola oleh sahabat saya sendiri, Ustaz Ridzuan bin Md Rejab. Memang selayaknya untuk dia. Minat. Rajin. Boleh berkebun (ada ilmu). Jom berkebun!
Agak meletihkan pada permulaan. Buang semak-samun. Penaik batas tanaman. Buat aliran air. Batas tanaman dibahagikan mengikut kelas.
Setelah beberapa minggu. Yang rajin berkebun maka keluarlah hasilnya. Antara benih yang ditanam dan bakal ditanam ialah kangkung, bayam, sawi, kacang bendi, kacang panjang, jagung.
No comments:
Post a Comment