Wednesday, 20 August 2014

Bekalan Nasihat... Mesir Mu Tunggu Aku Datang!

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'alarasulillah.

"من خرج في طلب العلم فهو في سبيل الله حتى يرجع"
Sabda Nabi s.a.w: "Barangsiapa yang keluar (dari rumahnya) untuk menuntut ilmu, maka dia sedang berada di atas jalan Allah sehinggalah dia pulang." Mengungkapkan hadis ini, seharusnya sudut pandang kita bukan sekadar berasa megah dan hebat kerana sedang berada pada darjat fi sabilillah. Tetapi sedarlah bahawa darjat fi sabilillah itu perlu dibayar dengan nilai mujahadah dan kesabaran yang tinggi.


     Mesir. Nama salah sebuah negara timur tengah. Penduduknya berbangsa Arab. Perkataan Mesir itu sendiri berasal daripada perkataan Arab yang turut diabadikan namanya di dalam al-Quran kerana ia merupakan Bumi Anbiya'. Perkataan Mesir terdiri daripada tiga huruf, Mim Sod Ra'. Seperti yang selalu diperkatakan. Mim (م) untuk Musibah, Sod (ص) untuk Sabar, Ra' (ر) untuk Redha.

     Jadi pengembaraan saya dalam menuntut ilmu di bumi Mesir memerlukan persediaan dari segi fizikal dan mental. Saya tegaskan sekali lagi bahawa, darjat fi sabilillah itu perlu dibayar dengan nilai mujahadah dan kesabaran yang tinggi. Dalam membuat persediaan ke bumi Mesir, banyak saya bertanya pendapat dalam kesempatan ziarah sambil beraya pada Syawal kali ini. Meminta nasihat dan pesanan daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Pesan Ustaz Hamdi Lughah:
1. Sediakan buku nota poket  ke mana saja pergi. Kita dengar lahjah arabnya kemudian kita tulis. InsyaAllah dalam masa 3 bulan kita fasih berbahasa Arab Ammi dan Fusha.
2. Pengajian talaqqi jangan tinggal. Selain mengikuti kuliah al-Azhar, perlu juga mulazamah bertalaqqi dengan para masyaeikh.
3. Beli buku-buku Arab yang nipis-nipis. Baca selalu kemudian terjemah.
4. Jangan terlalu aktif berpersatuan hingga mengabaikan pengajian, demonstrasi dan sebagainya. Kita kena ingat! Sebaik sahaja kita langkah turun di airport Kaherah sudah ada yang aim kita. Banyak polis SB (Special Branch). Morsi pun tidak, as-Sisi pun tidak. La ila ha'ulaa' wala ila ha'ulaa'. Ana Malizi. Ana mish 'arif.

Pesan Ustaz Mutalib:
1. Disiplinkan diri. Ilmu ada disiplinnya. Al-Azhar kuliahnya tidak wajib. Mesir hanya untuk orang-orang yang mampu mendisiplinkan diri sahaja.
2. Solat Subuh berjemaah. Istiqamah.

Pesan Ustaz Shahrizal:
1. Bila berpijak sahaja di bumi Mesir ziarahlah maqam imam kita dahulu. Maqam al-Imam as-Syafie rah. Jangan mendahulukan Firaun (dari segi adabnya).
2. Banyakkan bermuamalah dengan orang Arab. Carilah kawan Arab. Kalau tak mampu, belilah buku-buku atau surat khabar Arab. Kalau tak mampu juga, boleh tengok channel Arab. Fasihkan lidah berbahasa Arab.

Pesan Ustaz Khairul Abdan:
1. Bahasa Arab merupakan bahasa yang tertinggi kedudukannya. Kalam Allah. Kalam Nabi. Kalam ahli syurga.
2. Jangan berasa takut berbahasa Arab. Salah itu biasa.
3. Berdampinglah dengan ulama'.
4. Carilah ilmu yang bermanfaat. Bukan cari kemahsyuran. Bukan nak duduk satu saf dengan ulama'. Bukan nak berbalah dengan orang jahil.
5. Beradab.
"قلة العلم وكثرة الأدب خيرا من كثرة العلم وقلة الأدب"
Orang yang sedikit ilmu tetapi beradab lebih baik daripada orang yang banyak ilmu tetapi biadap.

     Demikianlah antara pesanan dan nasihat yang sempat dimuatkan. Mudah-mudahan ia menjadi bekalan yang bermanfaat. Actually masih banyak pesanan yang tak tertulis di sini. 'Ala kulli hal bittaufiq. Doakan saya.


No comments:

Post a Comment