Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Setelah tiga minggu berada di bumi Mesir Allah s.w.t merezekikan saya menziarahi maqam-maqam yang berada di sekitar Kaherah. Inilah nikmat yang berharga sepanjang tiga minggu setibanya saya di bumi yang penuh barakah ini. Bumi Mesir bukanlah megahnya dengan piramid bersama firaunnya. Sebaliknya Bumi Mesir ini lebih megah kerana keberkatan daripada kesan-kesan sejarah para anbiya'nya, para aulia, dan juga para alim ulama'nya. Antara maqam yang sempat kami (saya & sahabat-sahabat) ziarah ialah maqam al-Imam as-Syafie rah. pengasas bagi mazhab Syafie.
Maqamnya terletak di dalam sebuah masjid yang didirikan dengan nama Masjid al-Imam as-Syafie. Salah satu perkara yang menarik, maqamnya itu terdapat sebuah kubah yang mana di atasnya ada replika sebuah kapal seolah-olah ada lautan di bawahnya. Lautan itulah ilmu al-Faqih al-Imam as-Syafie rah. Al-Fatihah.
Antara lainnya maqam Syeikh Soleh al-Jaafari. Seorang tokoh ulama' terkenal yang berketurunan Rasulullah s.a.w. Jasadnya telah dikebumikan di masjid yang dibina sebelum kewafatannya di Hayyul Khailidin, Darrasah, Kaherah.
Kemudian sempat juga menziarahi maqam Imam Shihabuddin ar-Ramli, Imam Abdul Wahab as-Sya'rani, Syeikh Nuruddin Ali as-Syuni, Ibnu Sirrin (takwil mimpi), Ibnu Hisyam (nahu), dan banyak lagi. Dan tidak lupa juga, terdapat maqam-maqam tokoh suci yang terdekat dengan keturunan Rasulullah s.a.w (ahlul bait) seperti Imam Hussein, Sayyidah Nafisah, Sayyidah Aisyah dan Sayyidah Zainab. Terdapat juga di sini maqam Nabi Danial a.s dan maqam Luqman al-Hakim.
Tidaklah yang lebih bermanfaat daripada menziarahi mereka yang hatinya hidup walaupun zahirnya mereka itu mati berbanding menziarahi mereka yang zahirnya itu hidup akan tetapi hatinya mati. Ziarahlah kerana keberkatan mereka itu sentiasa mengalir. Banyakkan berdoa. Jazakumullahu khairan kathira diucapkan kepada pihak penganjur, Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK) yang sudi membawa kami. Tidak lupa juga kepada pengisi program yang menceritakan latar belakang sohibul maqam. Semoga ziarah ini diberkati Allah s.w.t. Ya Allah... Makbulkanlah doa serta hajat-hajat kami dengan berkat maqam-maqam kekasihMu disekeliling kami. Allahumma alhiqna bihim. Amin ya Rabb...




No comments:
Post a Comment