Friday, 17 October 2014

Asy-Syukru Lillah!

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Syukur kepada Allah s.w.t yang tidak henti-henti memberikan segala nikmat kepada kita sama ada yang kita sedar mahupun tidak. Bersyukur juga merupakan satu nikmat daripada Allah s.w.t. Sesungguhnya Nabi s.a.w merupakan seorang nabi lagi rasul yang bersamanya satu sifat yang mulia iaitu sifat bersyukur. Walaupun dijamin syurga baginya. Baginda tetap bersyukur dengan melebihkan amal ibadahnya antara makhluk Allah seisinya dengan mengatakan: "Tidakkah aku juga ingin menjadi hamba yang bersyukur..."



     Bahawasanya contoh ikutan kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w sentiasa menghargai nikmat. Walau sekecil manapun nikmat itu. Bahkan tidak ada di antara kita menjangka Baginda s.a.w akan menghargai nikmat sebegitu. Hatta secebis makanan yang jatuh itu nabi akan kutip makan. Dan disebutkan di dalam hadis, para sahabat melihat: "Bahawasanya Nabi s.a.w melicinkan bekas makanannya dan menjilat jarinya sehingga tidak ada lagi yang tersisa." Baginda bersabda: "Kamu tidak tahu makanan mana yang memiliki barakah."

     Pada permulaan al-Quran Fatihatul Kitab Allah s.w.t menyatakan ...dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Mengasihani. Alhamdulillahi rabbil 'alamin (Segala pujian itu bagi Allah s.w.t). Kalimah pertama Allah mengajar kita iaitu kalimah "Alhamdu (pujian)". Di syurga kelak Allah s.w.t akan menjadikan sebuah mahligai yang dinamakan Bait al-Hamdu. Mahligai ini adalah anugerah khas buat mereka yang menghargai nikmat Allah s.w.t. Hidupnya bersama nikmat Allah tanpa diabaikan sedikitpun.

Kata Nabi s.a.w:
من لا يشكر قليل لا يشكر كثير
Siapa-siapa yang tidak mensyukuri nikmat yang sedikit, dia tidak akan mensyukuri nikmat yang banyak.

     Kadang-kala kita lupa nikmat segelas air kosong. Lupa nikmat siang dan malam kerana sudah dianggap perjalanan alam semata-mata. Tak tahu nikmat pernafasan oksigen yang keluar masuk tak henti-henti.

Firman Allah s.w.t:
وأما بنعمة ربك فحدث
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah kamu nyatakan (dengan bersyukur).

Kata Nabi s.a.w:
والحمد لله تملأ الميزان
Dan kalimah "alhamdulillah (segala pujian bagi Allah)" itu memenuhi timbangan.

     Oleh yang demikian, menyebut "alhamdulillah" juga merupakan satu nikmat daripada Allah s.w.t. Misalnya kita minum air. Rasa lega hilang dahaga. Syukur dengan nikmat hilangnya dahaga. Lalu kita menyebut "alhamdulillah". Dan menyebut "alhamdulillah" itu satu nikmat lain yang lebih besar daripada nikmat hilangnya dahaga tadi. Allahuakbar! Diangkat martabat demi martabat mereka yang sentiasa membalikkan semula pujian dan rasa berterima kasih kepada Allah. Inilah yang dikatakan di dalam nikmat itu nikmat yang lain. Sesungguhnya tafakkur pada kenikmatan itu akan mewarisi syukur.

     Suatu ketika Nabi s.a.w pernah didatangi seorang lelaki yang tidak terurus penampilannya. Lalu nabi pun bertanya: "Tidakkah kamu punyai wang?" Lalu lelaki itu menjawab: "Ya Rasulullah, di sisiku ada segalanya. Saya memiliki unta, lembu, kambing, dan ternakan yang banyak." Lalu Baginda s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah suka melihat kesan nikmat kepada hambaNya." See! Allah memuliakan kita. Allah lihat nikmat pada kita. Bicarakan dan pamerkan nikmat Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w menganjurkan supaya kita hidup dengan nikmat Allah. Dan dengan nikmat itu kita akan sentiasa ingat bahawasanya bersama kita Pemberi Segala Nikmat.


No comments:

Post a Comment