Friday, 17 October 2014

Martabat Syukur

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Kata Nabi s.a.w: Bercakap tentang nikmat Allah s.w.t itu adalah kesyukuran. Martabat pertama syukur itu ialah kamu mengenali sesuatu itu adalah nikmat, dan tahu nikmat itu adalah daripada Allah s.w.t. Apabila seseorang merasai dan mengakui sesuatu itu nikmat pemberian daripada Allah s.w.t maka sesungguhnya dia telahpun bersyukur. Kemudian martabat yang lebih tinggi ialah dia berusaha dalam setiap nikmat yang diberikan itu digunakan dan dimanfaatkan pada jalan yang diredhai Allah s.w.t.


     Syukur itu berterusan sehinggalah kamu tidak mampu mengucapkan "alhamdulillah". Kata salah seorang nabi yang diutuskan: Ya Allah, setiap kali aku ingin memujiMu di atas nikmat yang diberikan, aku dapati pujian itu sendiri merupakan suatu nikmat. Bagaimana aku ingin memujiMu, wahai Tuhan? Maka Allah berfirman: Wahai hambaKu, kekalkan dirimu begitu. Jadikan dirimu sentiasa tak berdaya memuji dan menunaikan hak Aku.

Sabda Nabi s.a.w:

انظروا إلى من هو أسفل منكم ولا تنظروا إلى من هو فوقكم فإنه أجدر أن لا تزدروا نعمة الله عليكم
Lihatlah mereka yang lebih bawah daripada kamu, dan jangan kamu lihat mereka yang lebih atas daripada kamu. Bahawa selayaknya janganlah kamu menghina nikmat Allah.

Firman Allah s.w.t:          اعْمَلُوا آَلَ دَاوُودَ شُكْراً وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ
Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur. Dan sedikit dari kalangan hambaKu yang bersyukur.

     Kita gunakan nikmat kemampuan kita untuk membantu mereka yang kurang kemampuan. Yang kuat bantu yang lemah. Yang sihat bantu yang sakit. Yang kaya bantu yang miskin. Yang cerdik bantu yang kurang cerdik. Kita gunakan semua nikmat yang kita ada pada jalan yang diredhai Allah. Memberi kepada mereka yang berhak. Setiap manusia perlu mengimbalkan nikmat yang dikurniakan padanya. Apabila kita usahakan sesuatu nikmat itu kerana Allah, hati dan lidah memuji Allah dengan nikmat kurnian itu, Maka Allah s.w.t pasti akan mengekalkan nikmat itu tanpa terputus dan dikurangkan sedikitpun.

Demikianlah firman Allah s.w.t:
لئن شكرتم لأزيدنكم
Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahkan nikmat kepadamu.

Setiap kali Rasulullah s.a.w disampaikan berita kemenangan Islam. Mendapat khabar baik. Mendengar keislaman sesorang. Maka Nabi s.a.w akan bersujud tanda syukur kepada Allah s.w.t. Bila-bila sahaja, di mana sahaja berada. Sujud yang dilakukan itulah dinamakan sujud syukur. Inilah kehidupan seorang nabi lagi rasul. Baginda memuji dan dipuji. Diangkat martabat kedudukannya di sisi Allah s.w.t melebihi segala-galanya. Bagindalah yang berada pada maqamam mahmuda (kedudukan yang terpuji). Bagindalah yang paling banyak memuji Allah s.w.t. Maka selayaknyalah mereka yang banyak bertahmid - memuji Allah s.w.t, akan dekat dengan Rasulullah.


No comments:

Post a Comment