Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah.
Syukur kepada Allah s.w.t dengan limpah kurniaNya dapat bersama-sama dengan Syeikh Asyraf Hamid al-Hasanain dalam halaqah ilmu. Malah saya juga berpeluang duduk di hadapan sekali. Berkopiah putih berbaju koko itulah saya. Hehe. Kelas talaqqi tersebut merupakan kelas pertama bagi kami student baru yang baharu sahaja seminggu di Bumi Mesir. Syeikh mengajar tajwid dengan menggunakan kitab Matan Jazari. Memang fully arabic tapi Syeikh menggunakan bahasa Arab fusha (baku). Alhamdulillah. Kalau guna bahasa Arab ammi (kampung) memang terngangalah kami. Pada kelas pertama ini beliau tidak menyentuh satu perkara pun daripada apa yang ada di dalam kitab. Pada permulaan ini Syeikhuna mengingatkan kami tentang perkara-perkara yang perlu diamati sebelum menuntut ilmu.
Perkara pertama ialah "tajdidun niyyatin solihatin sodiqatin" iaitu memperbaharui niat yang soleh lagi benar-benar (tekad) kerana Allah. Huraiannya boleh baca pada post "Ikhlaskan Niat Tiada Riya'."
Perkara kedua ialah beradab dengan guru. Beradab dengan guru dalam erti kata lain kita beradab (malu) dengan Allah, beradab dengan Rasulullah serta ahli keluarganya, beradab dengan para sahabatnya, para tabi'in, dan para ulama' seterusnya para asatizah sekalian. Kata Syeikhuna:
"قليل من العلم مع كثير من الأدب خير من كثير العلم مع قلة الأدب"
Sedikit ilmu bersamanya nilai adab yang tinggi lebih baik daripada banyak ilmu bersamanya nilai adab yang rendah.
Syeikhuna berkata lagi... Jika dibandingkan kita dengan makhluk Iblis dan Jin, mereka jauh lebih hebat dalam ilmu. Mereka dihina dan dilaknat Allah s.w.t hanya kerana mereka tidak menghormati Adam a.s. Maka dengan itu adab lebih utama daripada ilmu.
Perkara ketiga ialah jangan kamu mensia-siakan masa.
"الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعتك"
1. Masa itu sepertimana pedang, jika kamu tidak memotongnya (memanfaatkannya dengan baik) maka ia akan memotong kamu (mensia-siakanmu).
"نفسك إن لم تشغلها بالحق فشغلتك بالباطل"
2. Dirimu jika tidak disibukkan dengan perkara yang hak (kebaikan) maka kamu akan disibukkan dengan perkara yang batil (maksiat).
"إن لم تكن في زيادة فأنت في نقصان"
3. Jika kamu tidak berada dalam penambahan (dalam kebaikan) maka kamu berada dalam kekurangan (amal).
Syeikhuna lagi sekali berpesan supaya refresh niat selalu kerana pentingnya dengan adanya halaqah ilmu yang terdiri daripada jiwa-jiwa yang ikhlas, maka Allah akan membuka pintu ilmu kepada guru yang mengajar dan juga kapada murid yang belajar. Dalam majlis ilmu semuanya akan belajar. Pelajar belajar dengan guru itu biasa. Pelajar belajar dengan pelajar (rakannya) itu juga biasa. Dalam masa yang sama guru juga boleh belajar daripada pelajar. Apabila pelajar bertanya sesuatu yang gurunya tidak tahu jawapannya. Maka si guru akan banyakkan rujukan, dan bertanya kepada yang lebih arif itu juga belajar.

No comments:
Post a Comment