Friday, 21 November 2014

Tips Menghafal Al-Quran Part #1

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Kebelakangan ini ramai yang bertanya kepada saya berkenaan cara-cara, kaedah, atau tips menghafal al-Quran. Excited dan teruja rasanya apabila diajukan persoalan sebegitu. Tampak jelas keinginannya untuk menghafal al-Quran. Dan semestinya persoalan itu datang setelah dia mengetahui serta memahami kelebihan-kelebihan menghafal kalam Allah. Jadi saya mengambil peluang mengisi ruang ini untuk berkongsi dengan lebih mendalam tentang kaedah menghafal al-Quran.


Tips #1 Ikhlas Rahsia Pembukaan

     Antara perkara pokok dalam melakukan sesuatu perkara adalah mengikhlaskan niat lillahita'ala. Begitu juga dalam urusan menghafal al-Quran. Wajib mengikhlaskan niat dan sentiasa memperbaharuinya. Kehendak biar jelas, menghafal al-Quran itu adalah salah satu wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t seterusnya dinaungi rahmat dan dilimpahi redhaNya.
Firman Allah s.w.t:
ألا لله الدين الخالص
Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah hanyalah ibadat yang suci bersih.

     Niat yang ikhlas sahaja mampu membezakan hafalan kita dengan hafalan para perosak agama Allah. Berapa ramai orang Yahudi, paderi Nasrani, para pengkaji agama yang menghafal al-Quran bukan kerana Allah. Adakah Allah menyekat hafalan mereka? Tidak. Pun begitu hafalan mereka hanya terhenti pada sebutan bukanlah berakar umbi di dalam hati sanubari sepertimana mereka yang ikhlas.

     Walau bagaimanapun perlu melihat semula, sentiasa bermuhasabah dan menyuluh diri - dengan memperbaharui niat sentiasa. Rata-rata dari kalangan kita terlepas pandang. Menghantar anak-anak ke maahad tahfiz, pondok, dan sebagainya untuk belajar agama kerana melihat market lakunya orang-orang agama zaman sekarang. Kemudian pemikiran sebegitu didoktrinkan ke dalam fikiran anak-anak untuk menarik minat mereka cenderung ke arah itu. Suara merdu, setiap tahun jadi imam Tarawih sana-sini dan sebagainya. Akhir sekali apa yang dilihat hanyalah pakaian agama itu mudah mengaut duniawi. Selanjutnya boleh baca post Ikhlaskan Niat Tiada Riya'.


Tips #2 Menghafal Pada Waktu Yang Sesuai

     Proses hafalan tidak akan berlaku dengan baik sekiranya kita menghafal bukan pada waktunya. Sebagai contoh pada waktu tengah hari. Bukanlah ditegah menghafal pada waktu itu. Sekiranya kita mampu tafaddhal... Silakan... Cuma ia kurang baik kerana pada kebiasaannya waktu itu minda kita mula berasa letih dan lesu. Tambahan pula selepas makan tengah hari. Kenyang dan mengantuk. 

     Maka memilih waktu yang baik itu penting untuk membuahkan hasil yang baik. Sesungguhnya waktu yang paling baik itu adalah pada waktu sahur iaitu pada sepertiga malam (sebelum Subuh). Selain itu dinukilkan juga di dalam sebuah risalah Ibnu Jama'ah, katanya: "Waktu yang paling baik untuk menghafal itu pada waktu sahur, untuk pencarian (bekerja) itu pada waktu pagi, untuk menulis itu pada waktu siang (tengah hari), untuk mengulangkaji dan menelaah pelajaran itu pada waktu malam."


Tips #3 Memilih Tempat Menghafal Yang Sesuai

     Bagi seorang huffaz atau juga penuntut ilmu perlulah memilih tempat untuk belajar, membaca, atau mengulang kaji pada tempat yang sesuai bagi memelihara fokus. Bahkan yang lebih utama adalah supaya hafalan kita tidak terjejas dengan apa yang berkeliaran di sekeliling kita pada waktu itu terutamanya yang membawa kepada maksiat. Kitab al-Quran itu ilmu, dan ilmu itu cahaya, dan cahaya itu takkan sekali-kali bersamanya kegelapan maksiat.

     Katakanlah ada sebuah bekas air kosong. Lalu diisi sedikit dengan air kosong yang bercampur sedikit serbuk kopi. Apakah yang akan berlaku? Ya, adatnya serbuk kopi tersebut sedikit sebanyak akan menjejaskan kejernihan air kosong tersebut.

     Begitu juga dengan hati kita. Tempat ilmu itu di dalam dada. Setiap apa yang masuk ke dalam hati, ia akan memenuhi hati. Antara jalan yang paling mudah untuk masuk ke dalam hati adalah mata, telinga, dan lidah. Maka pilihlah tempat yang tenang dari segala anasir maksiat supaya hafalan kita masuk terus ke dalam hati tanpa tercalit najis-najis maksiat.


Tips #4 Bacaan Fasih dan Merdu

     Di antara perkara asas untuk menghafal al-Quran adalah dari segi kelancaran, kefasihan, dan kemerduan pada alunan kalamullah. Dan tidak dapat tidak seseorang itu perlu mengasai ilmu Tajwid kerana kelancaran itu bergantung padanya sebagaimana ia diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

     Adapun kefasihan menyebut dan mengeluarkan huruf dari makhraj dengan baik paling utamanya hanyalah dengan jalan talaqqi musyafahah iaitu belajar dengan guru yang mahir secara berhadapan. Guru baca kita dengar. Kita baca guru dengar. Kesalahan yang berlaku terus ditegur dan diperbetulkan. Walau bagaimanapun bagi saya, jika sukar untuk mencari guru yang mahir, yang perlu kita berdamping selalu sedangkan kita dalam kedaan belajar di universiti, bekerja seharian, atau sebagainya. Mendengar bacaan para masyaeikh, para qurra', para imam yang terkenal seperti Syeikh Sa'ud as-Shuraim, Syeikh Maher al-Mu'aiqly*favourite, Syeikh Mishary Rashid al-Afasy, dan lain-lain juga dapat membantu kita untuk menghafal dengan baik sekaligus dapat membantu kita mengalunkan sepertimana mereka mengalunkan ayat suci al-Quran.

     Daripada Abu Musa al-Ash'ari katanya: "Sedang aku membaca al-Quran, Rasulullah s.a.w mendengar bacaanku. Maka aku menoleh ke arah Baginda s.a.w lalu aku bertanya: "Adakah engkau mendengar bacaanku ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ya, sesungguhnya engkau diberikan suara indah dari kalangan keluarga Daud 'alaihissalam." Maka aku berkata: "Jika aku mengetahui dari awal engkau mendengar bacaanku maka sudah tentu aku akan mengindahkannya lagi dengan suaraku." Sesungguhnya kalamullah itu indah, maka indahkanlah lagi dengan suaramu.


Tips #5 Mengehadkan Hafalan Dalam Suatu Masa

     Apabila selesai pada permasalahan Tajwid, makhraj sebutan, panjang-pendek harakat, dengung dan sebagainya. Anda mestilah membaca terlebih dahulu ayat yang hendak dihafal. Baca beberapa kali sehingga lidah kita lancar dan semakin lancar.

     Proses menghafal cepat ataupun lambat bergantung pada bagaimana kita mengendalikan masa yang ada untuk mengingati sesuatu perkara. Antara kaedah yang berkesan bagi saya dan mungkin juga anda boleh cuba adalah mengehadkan hafalan dalam suatu masa.

     Katakanlah anda ingin menghafal surah an-Naba'. First, apa yang perlu anda buat adalah meletakkan target. Dalam jangka masa sekian-sekian anda perlu ingat setengah muka surat katakan. Letakkan had bergantung pada kemampuan anda. Setelah beberapa lama pada had tersebut sebaiknya push diri sendiri dengan meletakkan had yang lebih tinggi.


Sekian dahulu tips yang dapat saya kongsikan. Semoga ia bermanfaat buat bakal-bakal huffaz, insyaAllah.
إنا نحن نزلنا الذكر وإنا له لحافظون
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.


No comments:

Post a Comment