Thursday, 2 July 2015

Ramadhan & al-Quran

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala rasulillah. Syukur kepada Allah s.w.t dengan rahmat serta kasih sayangNya atas peluang yang masih diberikan kepada kita untuk bertemu dengan Ramadhan pada kali ini. Tahun ini merupakan kali pertama menjalani ibadah puasa di perantauan. Perasaan bercampur-baur antara gembira dengan sedih. Sememangnya jauh di lubuk hati ini terpendam selaut kerinduan buat keluarga tersayang. Sesekali kesunyian juga menjengah dek kerana pulangnya sebahagian sahabat seperjuangan ke tanah air. Sungguhpun begitu, ia bukanlah alasan untuk terus terleka daripada merebut peluang yang hanya ada setahun sekali ini. Kesempatan Ramadhan yang ada pada kali ini amat perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya. Semoga Ramadhan kali ini hidup dengan ruh serta semangat 'ubudiyyah yang bersifat kehambaan kepada Allah s.w.t.
Pejam celik pejam celik dengan izin Allah kini kita telapun berada di pertengahan Ramadhan. Seiring dengan pertambahan hari ke hari di bulan yang penuh berkat ini, adakah amal kita juga semakin bertambah? Dari segi kualiti dan kuantitinya. Atau juga semakin berkurang? Tepuk dada tanya iman masing-masing.

Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah pada ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

     Sehubungan dengan ayat di atas, jelas dinyatakan bahawasanya Allah s.w.t telah memilih bulan Ramadhan itu sebagai bulan yang diturunkan al-Quran. Seolah-olah ia menjadi tema utama bagi Ramadhan. Malah perkataan "Ramadhan" dan "al-Quran" itu sendiri berada di dalam satu ayat yang sama. Sedangkan perintah puasa Ramadhan itu berada pada ayat-ayat yang sebelumnya. Tambahan lagi, kita menjunjung perintah puasa, menundukkan pandangan, memelihara lidah dan sebagainya itu sendiri kerana al-Quran. Ini menunjukkan bahawa Ramadhan dan al-Quran itu merupakan satu ikatan sinonim yang tidak dapat dipisahkan lagi. Apabila disebut Ramadhan, di samping puasa, sekaligus kita akan teringatkan al-Quran, kerana pada bulan Ramadhan itulah diturunkan al-Quran.

     Maka sesuai dengan temanya itu, wajarlah kaum Muslimin lebih fokus pada al-Quran di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini dengan memperbanyakkan bacaannya. Ini adalah kerana lainnya, ada riwayat yang menyatakan bahawasanya Nabi s.a.w juga akan membacakan al-Quran kepada Sayyidina Jibril a.s pada malam-malam Ramadhan. Malah ada yang meriwayatkan bahawa tadarus Nabi bersama Jibril itu khatam sebanyak dua kali.

Kelebihan Membaca al-Quran
  1. Firman Allah s.w.t di dalam surah Fatir pada ayat 29-30: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah (al-Quran) dan tetap mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya secara sembunyi dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).
  2. Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud, sabda Nabi s.a.w: "Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan. Dan setiap kebaikan akan berganda sehingga sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf."
  3. Kata al-Imam an-Nawawi rah: "Perbanyakkanlah bacaan al-Quran kerana ia adalah sebaik-baik zikir.
  4. Kata guru kami Habib Ahmad al-Maqdi hafizahullah ketika mensyarahkan Bab Niat daripada kitab Risalatul Mu'awanah lil Imam al-Haddad: "Ketahuilah bahawasanya pada satu amal taat itu boleh terhimpun di dalamnya niat yang banyak. Seorang muslim yang membaca al-Quran sekalipun tanpa niat maka itu sudahpun dikira pahala pada tiap-tiap hurufnya kerana itu adalah pengakuan Nabi s.a.w (alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf). Akan tetapi alangkah beruntungnya jika dia berniat dengan pembacaannya itu sebagai munajat kepada Allah, memahami ayat-ayatnya lantas ingin mengambil manfaat daripadanya, dan menjadikan ayat-ayat itu sebagai syifa' (penyembuh) bagi hatinya. Maka baginya pahala daripada setiap apa yang diniatkannya."

     Akhir kalam, dengan penuh rasa kasih, pesanan ini ditujukan khas buat sahabat-sahabat huffaz, sama ada yang berjaya mangkhatamkan hafazan al-Quran atau tidak supaya berusaha memantapkan lagi hafazan kita di bulan Ramadhan ini. Itu hak yang wajib ditunaikan. Berdosalah kalau langsung tidak ada usaha kearahnya. Mampukah kita berdalih dengan berbagai alasan di hadapan Allah kelak sedangkan Allah telah pilih al-Quran keseluruhannya untuk pernah singgah di hati kita... Bukan semua orang dapat anugerah ini! Susah-payah kita hafal, setiap hari kena rotan, kena denda, ketuk-ketampi beratus-ratus... Mudah sahaja kita melenyapkannya hanya dengan perkara-perkara lagha dan maksiat yang menghitam di hati kita. Jadi inilah masa yang terbaik dan saya kira bulan inilah bulan yang paling banyak kita berdamping dengan al-Quran. Wallahu'alam. Ya Allah, ampunilah kami dan rahmatilah kami dengan al-Quran. Allahumma amin.


No comments:

Post a Comment